Aktivis Ditahan Israel: “Sarawak Kecil, Biar Putrajaya Bersuara” kata Abang Johari

 

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ditemui selepas menyaksikan upacara 
menandatangani Perjanjian Khidmat Nasihat Boleh Dituntut Semula (RAS) 
antara Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan dan Bank Dunia di sebuah hotel terkemuka di 
Kuching, hari ini. Foto Nadim Bokhari (TVS)


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyerahkan kepada Putrajaya untuk bersuara berhubung penahanan oleh tentera Israel ke atas aktivis kemanusiaan dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Pada masa sama, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menegaskan pendirian negara dengan sangat jelas berhubung perkara itu.

“Israel tidak pandai berhenti. GSF adalah kunjungan kemanusiaan, mungkin mereka mahu bantu mangsa di Gaza.

“Tapi kita tengoklah apa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan kata.

Kita ini kecil saja, Sarawak kecil, itu sebab saya tidak beri komen.

“Biar persekutuan keluarkan komen tetapi Anwar telah menegaskan pendirian kita dengan sangat jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Khidmat Nasihat Boleh Dituntut Semula (RAS) antara Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan dan Bank Dunia di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Leonard Wilfred Yussin yang mewakili Kementerian Kewangan Malaysia, Setiausaha Kewangan Negeri Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Pengarah Bahagian Bank Dunia bagi Filipina, Malaysia dan Brunei, Zafer Mustafaoglu.

Terdahulu, dilaporkan sekurang-kurangnya 201 aktivis kemanusiaan dari 36 negara ditahan oleh tentera Israel selepas misi GSF ke Gaza dipintas tengah malam tadi.

Jumlah itu termasuk 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi berkenaan iaitu Farah Lee dan Danish Nazram dari kapal Grande Blu; Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli dari kapal Sirius.

Paling ramai yang ditahan adalah dari Sepanyol iaitu 30 orang, Itali (22) dan Turkiye (21) dengan kesemuanya dilaporkan selamat.

Susulan itu, Anwar dilaporkan memberi jaminan kerajaan akan memastikan ahli keluarga aktivis dan sukarelawan Malaysia yang ditahan Israel terus dimaklumkan mengenai setiap maklumat dan perkembangan proses pembebasan.

Beliau juga memaklumkan kerajaan sedang giat berhubung dengan pihak berkepentingan termasuk saluran diplomatik dalam usaha memastikan sukarelawan dan aktivis Malaysia, ASEAN serta antarabangsa dibebaskan segera oleh Israel.

Anwar turut mendoakan ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik mencabar ketika ini.

“Perkembangan setiap proses menuju pembebasan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia berada dalam keadaan selamat dan terpelihara,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama