Anak Sarikei Ukir Sejarah: Amirruddin Terajui Lan Berambeh Edisi London 2025, Terima Pujian Timbalan Menteri


SARIKEI: Kejayaan cemerlang anak kelahiran Sarikei, Amirruddin Ahmat, dalam menerajui penganjuran Program Lan Berambeh Edisi London 2025 telah mendapat pujian tinggi daripada Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh.

Datuk Len Talif, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang, menyatakan rasa bangga dan teruja beliau terhadap pencapaian Amirruddin yang kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana di United Kingdom (UK).

"Sebagai wakil rakyat bagi Kawasan N.41 Kuala Rajang, saya berasa amat bangga dan teruja melihat pencapaian cemerlang anak kelahiran kampung Sarikei, saudara Amirruddin Ahmat, berjaya menerajui penganjuran Program Lan Berambeh Edisi London, United Kingdom (UK) 2025," ujar beliau dalam satu kenyataan.

Lebih membanggakan, menurut Datuk Len Talif, program Lan Berambeh edisi kali ini merupakan yang julung kalinya dianjurkan di luar negara, khususnya di benua Eropah.

"Ini menandakan satu lagi detik bersejarah dalam usaha memperkukuh jaringan anak Sarawak di perantauan selain menjadi 'jambatan' yang menghubungkan pelajar dengan pemimpin-pemimpin utama Sarawak," tambah beliau.

Amirruddin, anak ketiga daripada empat beradik, kini merupakan pelajar Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Tenaga Subpermukaan (Subsurface Energy Engineering) di University of Manchester, sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka di peringkat antarabangsa.

Mengakhiri kenyataan beliau, Datuk Len Talif merakamkan ucapan tahniah dan memberikan kata-kata semangat kepada Amirruddin.

"Tahniah anak Sarikei! Teruskan melakar kejayaan dan mengharumkan nama Sarawak di mata dunia," seru beliau.

Kejayaan Amirruddin ini bukan sahaja menjadi kebanggaan buat Sarikei tetapi juga inspirasi kepada seluruh anak Sarawak untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan di persada antarabangsa.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama