Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg telah hadir bagi menyempurnakan Majlis Iftar LCDA Darul Hana 2026. Foto: FB LCDA
Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) meneguhkan komitmen sosialnya melalui Majlis Iftar LCDA Darul Hana 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, semalam.
Bertemakan “45 Tahun LCDA Bersama Komuniti”, majlis itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-45 LCDA, sekaligus menjadi platform menghargai sokongan masyarakat dan pemegang taruh sepanjang lebih empat dekad penubuhan agensi tersebut.
Dalam majlis itu, LCDA menyerahkan Zakat Perniagaan 2025 berjumlah RM1,782,437.05 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS). Penyerahan disampaikan oleh Pengurus Besar LCDA, Datu Sr Zaidi Mahdi kepada Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, disaksikan oleh Premier Sarawak.
Selain itu, sebanyak RM25,000 Sumbangan Hari Raya diagihkan kepada 125 penerima daripada 13 kampung di bawah Projek Pembangunan Darul Hana. Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan ini bertujuan meringankan beban golongan memerlukan dalam persiapan menyambut Aidilfitri.
Menurut LCDA, penganjuran majlis ini mencerminkan pendekatan inklusif dan mampan agensi, yang menekankan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan fizikal projek sambil mengutamakan kebajikan penduduk setempat.
Majlis iftar itu turut dihadiri kira-kira 700 tetamu, termasuk ketua masyarakat, wakil agensi dan jabatan kerajaan, serta rakan media yang menyokong setiap inisiatif pembangunan LCDA.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Utiliti dan Telekomunikasi) merangkap Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam, Datuk Abdul Rahman Junaidi; Pengerusi LCDA Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain; Pengurus Besar LCDA, Datu Sr Zaidi Mahdi, serta tetamu kehormat lain.
Tags
Berita Sarawak