Suspek ditahan polis manakala senjata api serta peluru yang digunakannya turut dirampas.
Foto IPD Julau
Seorang lelaki warga emas maut selepas ditembak menggunakan senapang patah di pekarangan sebuah rumah panjang di Sungai Minus Entabai di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa berusia 69 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahu kanan.
Kejadian berlaku di rumah panjang di Sungai Minus Entabai ketika mangsa dipercayai sedang mencuci kaki selepas pulang dari kebun sawit.
Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata, seorang lelaki yang juga penduduk rumah panjang berkenaan secara tiba-tiba berlari keluar dari salah satu bilik sebelum melepaskan satu das tembakan.
Menurutnya, suspek menggunakan senapang patah jenis SBBL 12 bore dan menembak mangsa dari jarak dekat.
“Tembakan mengenai bahu kanan mangsa menyebabkan kecederaan serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Insiden itu turut disaksikan seorang penghuni rumah panjang terbabit yang bertindak menyembunyikan diri kerana ketakutan.
“Bagaimanapun, seorang lagi penduduk memberanikan diri membantu mangsa walaupun suspek mengugut bunuh dan mengacukan senapang ke arahnya.
“Lelaki berkenaan kemudian memapah mangsa sebelum membawanya mendapatkan rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Nanga Entaih. Namun, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.
Alif Haiqal berkata, bertindak atas laporan yang diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Julau melancarkan operasi memburu suspek.
Suspek berusia 43 tahun itu katanya, berjaya diberkas pada jam 1.35 petang hari sama di rumah panjang berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek selepas ditegur mangsa kerana bermain senjata api pada waktu subuh.
“Mangsa juga dikatakan mengugut untuk melaporkan perbuatan suspek kepada pihak polis, menyebabkan lelaki itu berdendam,” katanya.
Semakan mendapati senapang patah dan peluru yang digunakan adalah berlesen serta milik ibu suspek, namun diambil tanpa kebenaran. Polis merampas senjata dan beberapa butir peluru sebagai bahan bukti, manakala kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - TVS
Tags
Berita Sarawak