Isu PETRONAS-Petros: Anwar, Abang Johari Akan Teruskan Perbincangan Lanjut, Gesa Semua Pihak Bertenang

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan perbincangan awal telah diadakan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berhubung urusan antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Menurut Perdana Menteri, perbualan telefon yang berlangsung semalam itu adalah selaras dengan prinsip-prinsip yang telah disepakati bersama sebelum ini antara kedua-dua pihak.

Beliau turut memaklumkan bahawa satu sesi perbincangan susulan yang lebih terperinci akan diadakan segera bagi memuktamadkan perkara tersebut, sebaik sahaja Premier Sarawak kembali dari lawatan rasmi beliau di London, United Kingdom.

"Sekembalinya Premier dari lawatan rasmi ke London, United Kingdom kelak, kami akan segera mengadakan perbincangan lanjut untuk memuktamadkannya," kata Dato' Seri Anwar dalam satu kenyataan.

Sementara menunggu proses rundingan itu dimuktamadkan, Perdana Menteri menggesa semua pihak yang terlibat agar menangguhkan sebarang tindakan atau pengeluaran kenyataan awam demi menjaga kepentingan bersama.

"Sementara itu, atas dasar kepentingan bersama, semua pihak harus menangguhkan sebarang tindakan atau mengeluarkan sebarang kenyataan," tegas beliau.

Dato' Seri Anwar menzahirkan keyakinan penuh bahawa isu ini mampu diselesaikan secara baik melalui pendekatan yang berhemah dan dialog yang konstruktif.

"Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa isu ini dapat dirungkai dengan berhemah dengan berdiri teguh di jalur wacana yang sihat dan bermakna, Insya-Allah," tambah beliau.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama