TOULOUSE: Pengambilalihan MASWings dan susulannya penubuhan AirBorneo sebagai syarikat penerbangan Sarawak merupakan inisiatif untuk memangkin pembangunan di Sarawak, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Penubuhan AirBorneo bukan
sekadar untuk memiliki syarikat penerbangan, tetapi lebih penting lagi, ia
merupakan langkah untuk menyediakan kesalinghubungan serantau antara Sarawak
dan negara-negara jiran ketika negeri ini berusaha untuk menjadi hab kuasa tenaga
boleh baharu serantau dan bateri ASEAN, jelas Premier.
Beliau berkata demikian
kepada pemberita pada sidang media di akhir lawatan beliau ke fasiliti ATR dan
Airbus di sini, hari ini.
Beliau berkata lawatan
teknikal strategik ke ibu pejabat ATR dan Kampus Airbus merupakan sebahagian
usaha untuk memperkukuh sektor pengangkutan udara Sarawak serta membuat
persediaan untuk pelancaran syarikat penerbangan milik negeri itu, AirBorneo.
Dalam perbincangan semasa
lawatan itu, AIRBUS telah menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan
Sarawak dalam menubuhkan syarikat penerbangan itu dan menyediakan sokongan
dalam bidang seperti latihan dan pendigitalan operasi.
Premier dan delegasi
diberikan taklimat mendalam mengenai reka bentuk pesawat, operasi, dan potensi
kerjasama teknologi penerbangan.
Lawatan itu juga termasuk
lawatan ke Pusat Pemasangan Akhir ATR, membolehkan delegasi menyaksikan secara
langsung proses pembuatan pesawat komersial berprestasi tinggi yang sesuai
untuk laluan domestik dan serantau jarak sederhana.
Delegasi Sarawak
kemudiannya meneruskan lawatan ke Kampus Airbus di Blagnac dan menyertai
perbincangan bersama Presiden Antarabangsa Airbus, Wouter van Wersch di Bilik
Pameran Pelanggan Airspace Agoahub.
Sesi-sesi ini membuka
ruang untuk pertukaran profesional dan meneroka potensi kerjasama strategik
dalam teknologi, latihan, dan penyelenggaraan.
Selepas itu, Premier dan
delegasi beliau melawat ruang pameran pelanggan Airbus dan meninjau operasi
pemasangan akhir pesawat A350, salah satu pesawat komersial paling canggih di
dunia.
Lawatan ini dilihat
sebagai langkah kritikal dalam memastikan AirBorneo, yang dijangka memulakan
operasi penuh menjelang tahun depan, memenuhi piawaian antarabangsa sambil
mengukuhkan rangkaian pengangkutan udara serantau Sarawak.
Ini amat penting untuk
laluan domestik dan serantau merentasi Asia Tenggara, termasuk Kuala Lumpur,
Bangkok, Singapura, Jakarta, Hong Kong, dan Jepun.
Turut mengiringi Premier ialah Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Kredit: FB Sarawakku