Gambar yang diedarkan oleh pihak polis menunjukkan suspek ditahan
di Jalan Mukah-Selangau pada hari Khamis.
Dua lelaki tempatan berusia 17 dan 21 tahun telah ditahan oleh polis narkotik di sini pada Khamis kerana disyaki memiliki dan menyalahgunakan dadah semasa satu pemeriksaan di Jalan Mukah-Selangau.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias dalam satu kenyataan hari ini berkata, kedua-dua suspek ditahan sekitar jam 3.30 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek telah menemui satu keratan tiub straw lutsinar setiap seorang, yang berisi bahan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu).
“Jumlah berat dadah yang dirampas ialah 0.61 gram dengan anggaran nilai RM100.
“Kedua-dua suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine hasil ujian saringan air kencing,” katanya.
Menurut Muhamad Rizal, salah seorang suspek bekerja sebagai pembantu kedai manakala seorang lagi adalah buruh.
Tambah beliau, kedua-dua mereka kini direman di lokap Balai Polis Mukah bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesalahan di bawah Seksyen 12(2) memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Manakala Seksyen 15(1)(a) pula membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000, serta perintah pengawasan wajib.
Tags
Berita Sarawak