Simulasi Rompakan Bersenjata, Lapangan Terbang Mukah Jadi Medan Latihan

Simulasi yang mengambil masa kira-kira 20 minit ini memantapkan persediaan dan koordinasi antara semua agensi termasuk Polis Bantuan Lapangan Terbang Mukah. Foto IPD Mukah

MUKAH: Suasana cemas menyelubungi Lapangan Terbang Mukah apabila latihan kecemasan aerodrom bertemakan ‘Ex-Samun’ dijalankan bagi melibatkan simulasi insiden rompakan bersenjata, semalam.

Latihan yang bermula jam 11 pagi itu menggambarkan lima lelaki bersenjatakan pedang dan parang menyerang pengawal keselamatan untuk merampas wang tunai.

Lebih mencemaskan, kesemua suspek menyamar dengan memakai seragam kakitangan lapangan terbang sebelum bertindak ganas.

Pihak pengurusan lapangan terbang segera menghubungi hotline IPD Mukah, sebelum sepasukan polis dengan kekuatan 12 anggota tiba dalam tempoh lapan minit untuk menggempur kumpulan penjenayah.

Dalam simulasi itu, polis melepaskan tembakan apabila suspek cuba menyerang menggunakan senjata api yang dirampas.

Tiga suspek ditembak mati manakala dua lagi berjaya ditahan manakala pengawal keselamatan yang cedera dihantar ke Hospital Mukah sebagai sebahagian prosedur latihan.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, latihan selama 20 minit itu bertujuan menguji kesiapsiagaan dan koordinasi antara agensi termasuk Polis Bantuan, Bomba, APM, RELA, KKM, CAAM, MASwings serta AFRS bagi menjamin keselamatan orang awam, kakitangan dan aset lapangan terbang.

Turut hadir menyaksikan latihan ialah Pengurus Lapangan Terbang Mukah, Mohd Nauffal Rano Gelong serta Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mukah, Nicholas Belulin.-TVS

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama