Abang Johari bersama sebahagian pelajar Sarawak yang menerima Bantuan Kewangan Khas
Pelajar Sarawak di Institusi Pengajian Tinggi di ibu negara hari ini. Foto, Amiruddin Shah (TVS).
Kerajaan Sarawak memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM50.4 juta untuk Bantuan Kewangan Khas (BKK) pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelajar yang menerima inisiatif tersebut akan mendapat RM1,200 setiap tahun atau RM600 bagi setiap semester pengajian.
Menurut beliau, bantuan itu diberikan kepada pelajar tanpa mengira latar belakang dan pendapatan isi rumah bagi meringkankan beban kewangan ibu bapa.
“Kerajaan Sarawak merasakan bahawa ini adalah bantuan strategik yang kita berikan berdasarkan hasil yang positif (kerana) kita mempunyai anak Sarawak yang cekap intelek dan mampu melanjutkan pengajian dengan lebih jauh serta relevan dengan apa yang berlaku ketika ini, termasuk dalam ekonomi global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bantuan Kewangan Khas Pelajar Sarawak di Institusi Pengajian Tinggi di sini, hari ini.
Turut hadir Selesai lawatan kerja ke Jakarta, Indonesia semalam, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir Majlis Pelancaran Bantuan Kewangan Khas Pelajar Sarawak Di IPTA di Kuala Lumpur, pada hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Sementara itu Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak menjangkakan jumlah permohonan bagi bantuan tersebut juga akan meningkat.
Beliau menambah, Kerajaan Sarawak juga komited untuk terus mencari pendekatan dan inisiatif baharu yang dapat membantu pelajar Sarawak melanjutkan pengajian.
Abang Johari memberitahu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk anak-anak Sarawak termasuk Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (IGPS).
“Selagi kita memiliki kerajaan seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang prihatin, kita akan terus membantu,” ujar beliau. – TVS