Tengah: Dr. Hasawardi menyampaikan cenderahari kepada
Pengurus Desa Inspirasi iaitu En. Januarius Tomek. Photo: SNDB
Sago and Nipah Development Board (SNDB) telah mengadakan satu lawatan rasmi ke tapak penternakan ulat sagu milik Desa Inspirasi Resources, yang dikenali sebagai Siet Mukah Farm, bagi meninjau perkembangan projek penternakan tersebut yang semakin mendapat perhatian di kawasan Mukah.
Lawatan itu diketuai oleh Pengurus SNDB, Dr. Hasawardi Hazmi, sebagai maklum balas terhadap surat permohonan yang dikemukakan oleh pihak syarikat berhubung beberapa cadangan dan inisiatif berkaitan pembangunan industri ulat sagu berasaskan rumbia.
Dalam sesi lawatan berkenaan, wakil Siet Mukah, Encik Petrus Emmanuel, telah menyampaikan taklimat ringkas mengenai perkembangan projek penternakan yang bermula sejak April 2024. Taklimat tersebut merangkumi fasa pelaksanaan, cabaran yang dihadapi, pencapaian setakat ini serta hala tuju dan perancangan jangka panjang syarikat.
Lawatan turut diserikan dengan sesi perkongsian oleh Pegawai Tadbir SNDB, Cik Chela Nuri, yang memberi penerangan mengenai proses pendaftaran sebagai usahawan bimbingan di bawah SNDB. Perkongsian ini dilihat penting dalam usaha memartabatkan ulat sagu sebagai produk hiliran berasaskan rumbia yang berpotensi tinggi di pasaran.
Dalam pada itu, pihak SNDB turut menasihatkan agar Desa Inspirasi Resources merangka pelan pembangunan jangka panjang termasuk lokasi penternakan baharu yang lebih strategik, sesuai untuk tujuan pelancongan, kunjungan pelawat dan penglibatan pihak berkepentingan pada masa akan datang.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah tiga pegawai SNDB iaitu Encik Awang Isabullah bin Awang Saba (Pegawai Tadbir), Encik Mohammad Syafiq bin Khalik (Penolong Pegawai Tadbir), dan Encik Muhammad Naufal Dru Abdullah (Pegawai Tadbir).
Pihak Desa Inspirasi Resources merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian SNDB melawat Siet Mukah Farm dan berharap hubungan kerjasama strategik ini dapat diteruskan bagi memperkasakan industri ulat sagu secara moden dan berdaya saing, khususnya di Mukah dan kawasan sekitarnya. - IPK