Sebanyak 14 lokasi di seluruh Sarawak akan menjadi destinasi bagi siri Jelajah Project of Dreams Realised (Pro-DR) yang bakal berlangsung dari 23 Julai hingga 22 Ogos depan.
Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Datuk Len Talif Salleh berkata, lokasi-lokasi yang terlibat termasuklah Lawas, Limbang, Long Lama, Sebauh, Mukah, Daro, Tanjung Manis, Kapit, Bintangor, Saratok, Balai Ringin, Sebuyau, Padawan dan Lundu.
Menurut beliau, penganjuran program ini amat penting sebagai platform untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai pendidikan, kerjaya, latihan dan bantuan kewangan kepada para pelajar, terutamanya di kawasan luar bandar.
“Setelah sedekad penganjurannya, program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti di setiap lokasi. Ini membuktikan keberkesanan pendekatan mendekati akar umbi dan komunikasi secara terus dengan kumpulan sasar.
“Ia juga menunjukkan kepentingan usaha berterusan TEGAS dalam memastikan tiada golongan yang tercicir daripada mendapat akses kepada maklumat dan peluang untuk membina masa depan yang lebih cerah.
“Justeru, kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan adalah amat mustahak bagi menangani isu-isu berkaitan pendidikan dan pekerjaan, serta memperkukuh daya saing pasaran buruh tempatan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT Fair) 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada hari ini.
Len, yang juga Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, menambah bahawa sebanyak 1,561 kekosongan jawatan ditawarkan sepanjang pameran tersebut, merangkumi sektor pembinaan, perkilangan dan pelbagai sektor lain.
“Ini merupakan peluang keemasan untuk membentuk masa depan yang lebih bermakna. Oleh itu, saya menyeru semua yang hadir dan masyarakat di luar sana, terutamanya golongan belia, agar merebut peluang ini.
“Sama ada anda sedang mencari pekerjaan atau merancang untuk memulakan kerjaya baharu, inilah masa terbaik untuk membuat keputusan. Jangan lepaskan peluang untuk meningkatkan kualiti hidup, memperoleh kemahiran baharu dan mengembangkan potensi diri dalam pelbagai sektor,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan kerjasama TEGAS bersama Yayasan ASEAN dan Yayasan Maybank bagi penganjuran Program Youth EdXchange yang memfokuskan pendidikan alam sekitar, melibatkan 14 buah sekolah dari seluruh Asia.
Menurutnya, program yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 3 Ogos di TEGAS Digital Village itu akan disertai seramai 2,323 pelajar, 131 guru dan 167 belia serantau.
“Inisiatif ini menyasarkan penyertaan daripada kumpulan belia, kelab pencinta alam sekitar, artis muda, pemimpin belia, wakil industri, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan penggubal dasar dalam usaha mempromosikan gaya hidup lestari secara proaktif dan kreatif,” katanya.
Tulisan asal: Sarawak Tribune