Sarikei: 4 Lemas, 6 Masih Hilang dalam Tragedi Bot Karam di Belawai

Empat meninggal dunia akibat lemas, enam masih hilang manakala tujuh lagi selamat dalam 
tragedi bot karam di Pantai Belawai, Kampung Belawai, SARIKEI, hari ini. Foto JBPM

Tragedi bot karam di Pantai Belawai, Kampung Belawai hari ini menyaksikan empat individu terkorban akibat lemas, enam masih hilang manakala tujuh lagi terselamat.

Menurut Komander Operasi, Adam Gauk, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada jam 2.11 petang dan segera menggerakkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis ke lokasi kejadian.

"Apabila tiba di lokasi, didapati bot jenis fiber telah karam dengan 17 penumpang di dalamnya. Empat mangsa disahkan meninggal dunia, tujuh berjaya diselamatkan, sementara enam lagi masih belum ditemui," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, operasi pencarian di pinggir pantai telah dijalankan oleh anggota dengan menggunakan sebuah bot penyelamat bomba dan turut dibantu oleh sebuah bot dari agensi Sarawak Coast Guard. Anggota bomba masih berusaha mengumpul maklumat daripada pemandu bot yang terselamat semasa kejadian.

Post asal: TVS

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama