Kuching: YSF 2025 di Sarawak, platform belia ASEAN perkasa agenda SDG

Dato Hanifah Hajar Taib mengadakan sesi rakaman video bersama Kelab Belia Prihatin sebagai sebahagian daripada bahan promosi untuk Youth Sustainability Forum (YSF) 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 12 Ogos 2025 di Kuching. Foto Hanifah Hajar Taib (FB)

Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib mengadakan sesi rakaman video bersama Kelab Belia Prihatin sebagai sebahagian daripada bahan promosi untuk Youth Sustainability Forum (YSF) 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 12 Ogos 2025 di sini.

Rakaman yang diadakan di Putrajaya ini merupakan antara usaha awal bagi mempromosikan forum tersebut yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan penglibatan belia ASEAN dalam agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), terutamanya di Malaysia.

Hanifah menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran YSF 2025 yang dilihat sebagai platform strategik untuk memperkasakan kesedaran mengenai SDG, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Menurut beliau, inisiatif seperti ini penting dalam memupuk semangat kepimpinan belia ke arah pembangunan negara yang lebih mampan.

“Selain memberi impak positif dari segi pendidikan dan kesedaran, YSF 2025 juga dijangka mampu merancakkan ekonomi setempat melalui kehadiran ratusan peserta dari seluruh Malaysia dan negara-negara ASEAN yang akan berhimpun di Kuching,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Belia Prihatin atas usaha berterusan mereka dalam memperjuangkan agenda pembangunan mampan serta memperkukuhkan peranan belia dalam menyokong dasar dan aspirasi kerajaan.-TVS


Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama