Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pelancaran
Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS Sarawak 2026 yang diadakan di Dewan Tan Sri Aziz, i-Cats University College hari ini. Foto TVS
Kerajaan Sarawak kekal memberi tumpuan kepada isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembangunan sektor pelancongan dalam rundingan bersama Kerajaan Persekutuan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, memaklumkan beberapa perkara tertunggak di bawah MA63 akan terus menjadi agenda perbincangan pada pertemuan akan datang.
Beliau menjelaskan, antara isu utama yang diberi perhatian ialah bidang kesihatan dan pendidikan, peruntukan khas di bawah Artikel 112D, serta status Tanah Persekutuan yang tidak dibangunkan. Tegasnya, tanah yang telah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan tetapi gagal dibangunkan dalam tempoh lima tahun wajar dikembalikan kepada kerajaan negeri.
Abdul Karim berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pelancaran Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS Sarawak 2026 di Dewan Tan Sri Aziz, i-Cats University College, petang ini.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan tindakan mahkamah yang melibatkan tiga undang-undang petroleum — Petroleum Development Act 1974, Oil Mining Ordinance 1966 dan Continental Shelf Act 1966 — adalah berkaitan isu sumber asli serta bidang kuasa sempadan. Perkara tersebut, katanya, diserahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk keputusan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan prestasi sektor pelancongan Sarawak menunjukkan peningkatan memberangsangkan, dengan pertambahan ketara jumlah pengunjung pada Januari 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, usaha promosi akan terus dipergiatkan, termasuk melalui kerjasama dengan kementerian di peringkat Persekutuan bagi memastikan kemasukan pelancong terus meningkat. Pelbagai program promosi serta penganjuran acara pelancongan di dalam dan luar negara akan diteruskan bagi mengekalkan momentum pertumbuhan industri pelancongan Sarawak, selaras dengan agenda pembangunan negeri.
Tags
Berita Sarawak