Gambar sekadar ilusi
KUCHING: Seorang ibu tunggal berusia 41 tahun yang mempunyai dua anak dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah mengambil amphetamine dan methamphetamine secara berulang.
Tertuduh, Sharifah Norsina Wan Arsat, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Noor Hisham Mohd Jaafar.
Mahkamah turut memerintahkan beliau menjalani pengawasan selama dua tahun di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, Sharifah Norsina didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(1) akta sama. Peruntukan tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta sebatan maksimum tiga kali bagi pesalah yang disabitkan.
Kesalahan itu dilakukan pada 27 Disember 2024, apabila tertuduh didapati mengambil amphetamine dan methamphetamine untuk kegunaan sendiri, walaupun mempunyai dua sabitan terdahulu di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama masing-masing pada 29 Februari 2024 dan 4 April 2024.
Berdasarkan fakta kes, pada tarikh kejadian, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuching menahan Sharifah Norsina sebelum menjalankan ujian saringan awal air kencing terhadapnya. Keputusan ujian mendapati beliau positif kedua-dua bahan terlarang tersebut.
Tertuduh kemudian ditahan serta-merta dan sampel air kencingnya dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak untuk analisis lanjut. Keputusan makmal mengesahkan beliau positif amphetamine dan methamphetamine.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Mohd Farid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tags
Berita Sarawak
