Hanifah(gambar) berkata sebanyak RM13 juta telah diperuntukkan kepada
Hospital Sarikei bagi perolehan peralatan perubatan penting. Foto: Facebook Hanifah.
KUCHING: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM13 juta kepada Hospital Sarikei sejak 2022 bagi tujuan perolehan peralatan perubatan penting, sekali gus memastikan hospital itu terus berdaya saing dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan berkualiti.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata peruntukan bagi tempoh 2022 hingga 2026 itu melibatkan penggantian serta penambahan aset berteknologi tinggi demi meningkatkan keselamatan pesakit dan keberkesanan rawatan klinikal.
Menurut beliau, antara peralatan yang terlibat ialah mesin Bius Am (General Anaesthesia), X-Ray Mudah Alih dan mesin Laparoskopi bagi pembedahan lubang kunci. Selain itu, hospital berkenaan turut menerima mesin Phaco untuk pembedahan katarak serta mesin Laser Argon.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab di Dewan Negara pada Selasa (24 Feb) sebagai menjawab pertanyaan Senator Roderick Wong Siew Lead berhubung perancangan kerajaan menaik taraf kemudahan Hospital Sarikei termasuk isu parkir pada tahun ini.
Mengulas isu parkir, Hanifah memaklumkan penilaian semasa oleh pihak pengurusan hospital mendapati kemudahan sedia ada masih mencukupi buat masa ini. Namun, beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus memantau keadaan tersebut.
Katanya, kementerian akan meneliti perkara itu secara menyeluruh bagi memastikan pelan tindakan proaktif dapat dilaksanakan sekiranya terdapat keperluan penambahbaikan parkir pada masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Hospital Sarikei turut dijadualkan menerima beberapa naik taraf infrastruktur penting tahun ini. Ia merangkumi penggantian sistem gas perubatan, kerja-kerja menangani isu kulapuk dan pemeluwapan, serta penaiktarafan unit hemodialisis bagi meningkatkan keselesaan pesakit.
Beliau menegaskan usaha berterusan ini mencerminkan komitmen kementerian untuk memastikan kemudahan kesihatan di Sarawak, khususnya di Sarikei, sentiasa berada pada tahap terbaik demi perkhidmatan kepada rakyat.