Sibu: Lelaki Sesak Nafas Hidu Bau Asap Selepas Mesin Penapis Air Terbakar

Pihak bomba memadam kebakaran kecil di ruang dapur sebuah rumah 
di Lorong Ulu Sungai Merah, Sibu, awal pagi tadi. Foto JBPM

Seorang lelaki berusia 53 tahun mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal dalam insiden kebakaran kecil di ruang dapur sebuah rumah di Lorong Ulu Sungai Merah di sini, awal pagi tadi.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah menerima panggilan kecemasan pada jam 4.43 pagi dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
Menurut Komander Operasi, Mohamad Mafri Abdul Latip, kebakaran hanya melibatkan sebuah mesin penapis air di ruang dapur kediaman berkenaan.

“Kebakaran yang memusnahkan kira-kira 15 peratus daripada ruang dapur itu berjaya dipadamkan oleh penghuni rumah menggunakan baldi air sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Mangsa yang dikenali sebagai Yu Hie Ting dihantar ke hospital selepas mengalami sesak nafas akibat asap kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, tiada operasi pemadaman dijalankan oleh pihak bomba kerana api telah pun padam sepenuhnya, pemeriksaan menyeluruh dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca api dan keadaan selamat. - TVS

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama