Miri: Kegembiraan Tiga Sahabat Berakhir Dengan Kehilangan

Pasukan perubatan di lokasi mengesahkan kematian kanak-kanak. Foto IPD Miri

Kegembiraan tiga sahabat kecil bermandi-manda di Pantai Lutong bertukar duka apabila salah seorang daripada mereka iaitu kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemukan lemas dalam kejadian petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, pihak polis menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4.36 petang daripada orang awam yang menyaksikan insiden tersebut.

“Pasukan perubatan yang bergegas ke lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Insiden menyayat hati itu berlaku ketika kanak-kanak tersebut bersama dua rakannya sedang bermain air di pantai yang menjadi tumpuan ramai pengunjung pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Menurut saksi, ombak besar secara tiba-tiba melanda kawasan tersebut dipercayai punca mangsa dihanyutkan arus.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mohd Farhan turut menasihati ibu bapa dan penjaga agar lebih berwaspada dan tidak membiarkan anak-anak mandi laut tanpa pengawasan, lebih-lebih lagi ketika cuaca tidak menentu.

“Keadaan cuaca ketika ini sering berubah-ubah dengan angin kencang dan ombak besar, menjadikan aktiviti laut berisiko tinggi,” ujarnya.-TVS

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama