Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius laporan media baru-baru ini mengenai seorang kanak-kanak perempuan bawah umur yang menjadi mangsa jenayah rogol oleh individu yang sepatutnya melindunginya. Perbuatan keji ini merupakan satu pencabulan yang amat dahsyat terhadap maruah, keselamatan, dan masa depan seorang kanak-kanak yang tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah masyarakat bertamadun.
Sebagai Menteri yang dipertanggungjawabkan, saya menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak adalah agenda nasional dan menjadi tanggungjawab kolektif kita semua. Tiada kompromi dalam soal keselamatan dan kebajikan mereka. Justeru, sekiranya siasatan mendapati tiada waris atau penjaga yang layak dan berkeupayaan untuk menjamin keselamatan mangsa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia untuk campur tangan dengan segera. JKM akan mendapatkan Perintah Jagaan Sementara di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 bagi memastikan mangsa ditempatkan dalam persekitaran yang selamat dan kondusif untuk proses pemulihannya.
Kesejahteraan mangsa tidak hanya terhad kepada perlindungan fizikal semata-mata. KPWKM komited untuk menyediakan sokongan pemulihan holistik yang merangkumi kaunseling trauma, sokongan emosi, dan bantuan psikologi. Ini adalah penting untuk membantu mangsa membina semula kekuatan mental dan emosi bagi mengharungi fasa sukar ini.
Dalam pada itu, saya menyeru seluruh lapisan masyarakat agar lebih cakna dan berani tampil ke hadapan. Jangan sesekali mendiamkan diri atau memandang remeh sebarang insiden yang disyaki melibatkan penderaan atau pengabaian kanak-kanak. Melaporkan perbuatan jenayah ini adalah tanggungjawab sosial kita. Salurkan maklumat kepada Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam atau terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berhampiran.
KPWKM akan terus memperkasa ekosistem perlindungan kanak-kanak di negara ini melalui perundangan dan kerjasama strategik dengan semua pihak. Kita beriltizam untuk membina sebuah negara di mana setiap kanak-kanak dapat membesar dengan selamat, dihormati, dan dilindungi sepenuhnya.